Perhimpunan Rasmi 11 Julai
Oleh: Nuraina Salamon
Minggu ini, Encik Shahrul Nizam telah menyampaikan sedikit ucapan mengenai laporan pada minggu lalu. Sekolah ini telah menyertai Pertandingan Ghazal peringkat negeri yang telah diadakan di Dewan Serbaguna Parit Raja yang berlangsung mulai 2 Julai hingga 3 Julai yang lalu. Pertandingan ini merupakan pertandingan ghazal terbuka dan hanya sebanyak 15 buah sekolah saja yang menyertainya. Kumpulan ghazal SMKDS iaitu Seri Mutiara Ghazal telah memasuki peringkat akhir dalam pertandingan berkenaan. Hasilnya, mereka telah pulang dengan membawa berita gembira apabila telah mendapat tempat sebagai Naib Johan dalam acara tersebut. Hadiah yang telah dibawa pulang ialah piala, sijil penyertaan serta wang tunai sebanyak RM 2,000.
Seterusnya, Puan Pauziyana Abu telah mempengerusikan majlis bagi Pertandingan Amali Haji Perdana yang telah diadakan baru- baru ini. Pertandingan ini telah disertai oleh 45 orang pelajar sekolah ini yang terdiri daripada pelajar Tingkatan 5. Guru-guru pengiring ialah Puan Saizah, Cik Siti Nurain serta Puan Pauziyana sendiri. Panel Penilai Tabung Haji telah menilai sekolah ini dan hasilnya sekolah telah meraih tempat ke-4 daripada 27 buah sekolah.
Ucapan diteruskan lagi dengan ucapan dari Encik Razif Arpan dan beliau telah membahaskan tentang Peperiksaan Percubaan PMR yang akan tiba serta persiapan pelajar-pelajar untuk menghadapi Peperiksaan Penilaian 2 yang melibatkan Tingkatan 1, 2, 4, dan 6. Majlis diakhiri dengan sedikit ucapan daripada Pengetua yang bertujuan memberikan sedikit motivasi kepada anak-anak di sekolah ini.



