Batu Pahat, 6 Januari 2011 – Satu majlis Anugerah Akademik PMR 2010 telah diadakan oleh Pejabat Pendidikan Daerah Batu Pahat pada hari ini bertempat di SMK Dato’ Syed Esa, Batu Pahat, Johor.
Untuk majlis ini, SMK Dato’ Sulaiman telah diwakili oleh Tuan Pengetua sendiri iaitu Encik Misli Rosbadi, Guru Penolong Kanan Pentadbiran iaitu Tuan Haji Razib Arpan dan semua Guru Kanan Mata Pelajaran yang terdiri daripada Puan Hajah Saemah Ariffin (GKMP Bahasa), Puan Kamarian Dali (GKMP Sains & Matematik), Puan Naijah Hashim (GKMP Teknik dan Vokasional) dan Encik Ismail Jais (GKMP Sains Sosial).

Piala Anugerah Akademik PMR 2010 yang dimenangi oleh SMK Dato' Sulaiman.
Pada majlis tersebut sekolah ini telah memperolehi 6 anugerah iaitu:
- Peningkatan Peratus Cemerlang Tertinggi Sekolah Luar Bandar.
- Peningkatan Gred Purata Mata Pelajaran Tertinggi Bahasa Melayu.
- Peningkatan Gred Purata Mata Pelajaran Tertinggi Bahasa Inggeris.
- Peningkatan Gred Purata Mata Pelajaran Tertinggi Bahasa Cina.
- Peningkatan GPS Tertinggi Sekolah Luar Bandar.
- Peningkatan Peratus Lulus, Peratus Cemerlang dan GPS.
Tuan PPD sendiri iaitu Tuan Haji Shapie bin Haji Md. Shariff telah menyampaikan kesemua anugerah tersebut kepada para penerima. Seluruh warga sekolah mengucapkan jutaan terima kasih atas anugerah tersebut yang disampaikan melalui Tuan Pengetua dan para perwakilan sekolah ini pada majlis tersebut.
Semoga anugerah ini akan menyuburkan lagi semangat memburu kejayaan dalam kalangan anak-anak didik sekolah ini.
Flaming enthusiasm, backed up by horse sense and persistence, is the quality that most frequently makes for success.
(Dale Carnegie)
Suasana sekolah masih lagi diliputi kehangatan bahana keputusan peperiksaan PMR yang lalu. Sebagai sebuah sekolah berstatus luar bandar, sekolah ini tetap merasa bangga dengan pencapaian tersebut yang menduduki tempat ke-9 daripada 24 buah sekolah di daerah Batu Pahat.
Sudah tentu kejayaan ini digembeling bersama antara guru-guru yang berdedikasi, pelajar-pelajar yang tekun, ibu bapa yang prihatin, program-program kecemerlangan yang disusun rapi, program-program motivasi yang menyuntik semangat pelajar, program teknik menjawab yang disediakan oleh panatia dan guru-guru berkenaan, kebijaksanaan pentadbiran serta dasar pengetua sendiri yang memberi kepercayaan kepada semua guru dan kakitangan. Hakikatnya semua pihak sememangnya terlibat dengan pencapaian sekolah. Bayangkan jika kantin tidak beroperasi. Sudah tentu para pelajar akan kelaparan. Bayangkan juga jika pekerja kebersihan tidak berfungsi. Sudah tentu pelajar dan guru tidak merasa selesa untuk melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran. Keadaan-keadaan sedemikian sudah pasti boleh menjejaskan prestasi para pelajar. Sesungguhnya prinsip GUYUP yang ditekankan oleh Pengetua telah membuatkan semua warga sekolah menggalas tanggungjawab dalam keadaan yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing.
Bagi mereka yang telah berjaya dalam PMR tentu puas dengan keringat yang telah dicurahkan siang dan malam. Namun bagi mereka yang pencapaiannya belum memuaskan, usah berputus asa kerana masih ada lagi laluan dan peluang di hadapan anda iaitu SPM 2012 kelak. Walaupun demikian perlu diingat bahawa kecemerlangan SPM yang digarap bermula dari detik ini, detik seawal anda melangkah ke tingkatan empat. Jika anda memulakan usaha lebih awal, sudah pasti pembelajaran anda lebih santai, kurang tertekan dan anda sendiri lebih yakin untuk berjaya. Bagi mereka yang sudah berada di tingkatan lima, teruskan melangkah dengan lebih tekun, teratur, berdisiplin dan selalu fokus untuk berjaya. Ingat bahawa Tuhan tidak akan mengubah nasib seseorang melainkan ia sendiri yang mengubahnya.
Dalam erti kata yang lain, jika seseorang berusaha dengan gigih dan berdoa dengan tulus, tidak mustahil kejayaan akan menjadi miliknya suatu masa kelak. Sesungguhnya orang yang berjaya selalu mencari peluang manakala orang yang gagal selalu memberi alasan.
Selamat maju jaya.
Diligence is the mother of good luck. (Benjamin Franklin)