Archive

Archive for the ‘Uncategorized’ Category

PMR 2011 Catat Peningkatan!

Oleh: Wartawan SMKDS

Foto: En. Hailmy bin Jomaat

PARIT SULONG, – Disember 2011- Keputusan PMR bagi tahun 2011 diumumkan di Dewan Bestari SMK Dato’ Sulaiman pada pagi ini.Parapelajar yang turut ditemani oleh ibu bapa dan penjaga sudah mula berkumpul di perkarangan sekolah sejak 8 pagi lagi walaupun keputusan hanya akan diumumkan pada jam 10 pagi.

            Semua guru kelas Tingkatan 3 sudah bersedia dengan slip keputusan di kaunter-kaunter khas. Namun begitu, semua calon PMR didera perasaannya terlebih dahulu. Apa tidaknya, senarai nama calon yang mendapat keputusan cemerlang 8A diumumkan seorang demi seorang. Mereka menanti nama disebut dengan penuh debaran sambil tidak putus memohon doa.

            Akhirnya, seramai 22 orang nama pelajar yang mendapat 8A habis dibacakan. Sayu, terharu tetapi penuh syukur para ibu bapa memandang anak-anak mereka menempa kejayaan. Seterusnya para pelajar dibenarkan beratur mengikut kelas untuk mendapatkan slip keputusan masing-masing.Walaupun bilangan pelajar yang mendapat 8A tidak bertambah, namun SMKDS mencatat peningkatan Gred Purata Sekolah (GPS) iaitu sebanyak 2.57 berbanding 2.60 bagi tahun 2010. Peratus  kelulusan juga bertambah 72.96% berbanding 69.34% pada tahun sebelumnya.

Tahniah buat seisi warga sekolah yang telah sama-sama bertungkus lumus mengadakan kelas tambahan, bengkel, teknik menjawab, pembelajaran jadual anjal dan program-program lainnya bagi memastikan kejayaan cemerlang SMKDS diteruskan.

Tahniah, SMKDS!

Pelajar-pelajar cemerlang PMR 2011 meraikan kejayaan mereka

Pelajar-pelajar cemerlang PMR 2011 meraikan kejayaan mereka.

Categories: Uncategorized

Selamat Datang Tahun Baru 2011!

January 1, 2011 5 comments

Oleh: Wartawan blog SMKDS

Kemeriahan tahun baru biasanya pasti dikaitkan dengan pancuran bunga api

Parit Sulong, 1 Januari 2011 – Lima, empat, tiga, dua, satu… Ting!  Selamat Tinggal 2010 dan Selamat Datang 2011! Begitulah rata-rata jeritan yang dapat didengar samada dari kaca televisyen mahupun yang berkumpul di warung-warung sekitar pekan Parit Sulong. Masyarakat di sini terutama golongan remaja dan meningkat dewasa tidak melepaskan peluang berkumpul beramai-ramai bagi meraikan detik tahun baru ini.

Bagi golongan berkeluarga pula, ramai yang mengambil pendekatan berbeza dengan duduk berhimpun di rumah seisi keluarga sambil menonton rancangan televisyen yang disajikan khas buat sambutan tahun baru 2011. Walau apa pun cara dan pendekatan yang diambil, seharusnya kita patut mengucapkan syukur yang tidak terhingga kepada Rabbul Izzati kerana masih diberikan kesempatan bernafas di dalam atmosfera negara yang aman dan sejahtera.

Sering juga kedengaran, apabila tahun baru, pasti ada azam baru. Acapkali isu ini dibincangkan oleh segenap lapisan masyarakat. Persoalannya, perlukah azam baru, jika azam tahun sudah belum dilangsaikan? Itulah yang jadi pada sesetengah individu apabila ditanya dengan azam baru, mereka pasti akan menjawab, “Sama seperti tahun sudah”. Kenyataan itu nyata tidak menjadi kesalahan mahupun sesuatu yang perlu dirungkaikan. Ini kerana, tidak ada seorang pun di muka bumi ini ditakdirkan dengan perjalanan hidup yang sama dan serupa. Justeru, adalah sesuatu yang pasti, jika si A berjaya mencapai azamnya, manakala si B masih terus cuba mencapai azamnya.

Namun, buat warga SMKDS, azam yang dipasang belum cukup jika tidak dilengkapi dengan strategi yang mantap. Matlamat jangka pendek dan jangka panjang harus diletak bersesuaian dengan kemampuan agar dapat mengurangkan risiko berputus asa di tengah jalan. Berakit-rakit dahulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Nah! sudah jelas tiada jalan pintas untuk mencapai sesuatu perkara. Oleh itu, diharapkan anak-anak didik SMKDS dapat membuat perancangan dengan penuh hati-hati dan mengelakkan berbuat sesuatu pada akhir waktu ataupun bila keadaan sudah mendesak. Tergesa-gesa itu permainan syaitan.

Semoga SMKDS terus maju dalam setiap bidang dan dapat melahirkan golongan pelajar yang boleh berjasa kepada masyarakat.

Segala tenagamu… Perlu bagi perjuangan mencapai kemajuan…

Categories: Uncategorized

Pendaftaran Pelajar Tingkatan 1 dan Rancangan Khas (RK)

Assalamualaikum, Salam Muhibah dan Salam 1 Malaysia.

Para pelajar baru yang akan mula mengikuti sesi persekolahan tingkatan 1 di SMK Dato’ Sulaiman diminta hadir pada ketetapan berikut :

  • Tarikh  :  31 Disember 2010 (Jumaat)
  • Masa  :  8.00 pagi – 11.00 pagi
  • Tempat : Dewan Bestari, SMK Dato’ Sulaiman

Manakala bagi para pelajar yang telah terpilih mengikuti Kelas Rancangan Khas (KRK) di sekolah ini dikehendaki mendaftarkan diri pada ketetapan berikut:

  • Tarikh  :  1 Januari 2011 (Sabtu)
  • Masa  :  8.00 pagi – 11.00 pagi
  • Tempat : Dewan Bestari, SMK Dato’ Sulaiman

Sekian untuk makluman. Semoga segalanya dapat berjalan lancar.

Categories: Uncategorized

Korban Eid Adha

November 19, 2010 Leave a comment

Program korban sempena eidul adha telah diadakan di sekolah ini pada 18 November 2010 bersamaan 12  Zulhijjah 1431H.  Sebanyak tiga ekor lembu telah dikorbankan hasil sumbangan guru-guru dan kakitangan sekolah ini. Acara korban bermula pada jam 7.00 pagi dan berakhir lebih kurang jam 11.00 pagi. Semua urusan korban dan penyembelihan diuruskan oleh guru-guru dan kakitangan dibantu oleh para pelajar. Program ini di ketuai/diurus   oleh Ustaz Mesri Abdullah manakala penyembelihnya pula ialah En. Kamil Jikan. Hasil korban telah diagih-agihkan kepada pelaqjar-pelajar miskin, anak-anak yatim dan warga sekolah.

Categories: Uncategorized

Pertandingan Boling: Warga SMKDS tunjuk bakat!

Oleh : Wartawan blog SMKDS

Batu Pahat, 15 Mei 2010 : Bertempat di gelanggang Pasific Bowl, Batu Pahat Mall staf sokongan bersama guru-guru telah sama-sama menyertai pertandingan boling. Aktiviti yang bermula jam 5 petang ini disertai seramai 36 peserta yang terdiri daripada guru dan staf. Ahli keluarga masing-masing turut tidak ketinggalan turun padang bagi memberi galakan dan sokongan kepada peserta kegemaran mereka.

Barisan guru lelaki berehat sebentar

Pelbagai aksi dapat dirakamkan apabila mereka mula membuat balingan pertama. Sorakan bertenaga bergema di ruang Pasific Bowl apabila terdapat peserta yang dapat membuat jatuhan pin penuh. Gurauan berbaur sindiran pula terpaksa ditadah bagi peserta yang tidak dapat membuat jatuhan pin langsung. Namun sindiran yang diberikan amat mencuit hati dan menjadi modal bagi setiap gelak tawa pada petang yang damai itu.

Aktiviti seperti ini bukan sahaja dapat mengukuhkan lagi ukhwah yang terjalin antara warga SMKDS, apa yang lebih penting ia turut membantu mengeluarkan peluh untuk perkembangan kesihatan tubuh badan. Tahniah diucapkan kepada guru-guru yang terlibat dalam penganjurannya seperti Cikgu Amfal, Cikgu Zainor Idayu, Cikgu Faleha dan Cikgu Shahrul Nizam.

Akhirnya, setelah 3 set permainan, jumlah jatuhan pin mula dihitung dan diumumkan. Riak ceria jelas terpapar pada wajah para pemenang namun majlis penyampaian hadiah dibuat pada Majlis Sambutan Hari Guru peringkat sekolah. Tahniah diucapkan kepada para pemenang.

Guru-guru wanita tidak ketinggalan menunjukkan bakat masing-masing

Categories: Uncategorized
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.