Sejarah

PENUBUHAN

Penubuhan Sekolah Menengah Rendah Kebangsaan Parit Sulong (SMRKPS) atau kini dikenali SMK Dato’ Sulaiman (SMKDS) , adalah rentetan perkembangan pendidikan sekolah menengah kepada anak-anak kampung terutamanya dikawasan luar bandar seperti Parit Sulong. Selepas merdeka, kerajaan telah memperkenalkan Sistem Peperiksaan Darjah VI sebagai syarat kemasukan ke sekolah menengah. Kerajaan juga memperkenalkan sistem pelajaran aneka jurusan pada masa itu untuk memberi peluang kepada anak-anak lepasan sekolah rendah melanjutkan pelajaran ke peringkat sekolah menengah sekurang-kurangnya untuk tempoh 3 tahun lagi.

Sekolah Menengah Dato' Sulaiman suatu ketika dahulu.

Sekolah Menengah Dato' Sulaiman suatu ketika dahulu.

Hasil wawasan tersebut tertubuhlah Sekolah Menengah Rendah Kebangsaan Parit Sulong pada 10 Januari 1965. Guru Besar pertamanya adalah En. Yusuf b. Ahmad yang hanya menjalankan tugas untuk tempoh masa dua bulan sahaja sebelum tempat beliau digantikan oleh Tn. Hj Daud b. Ibrahim pada bulan Mac 1965. Guru Penolong Kanan yang pertamanya pula ialah Tn. Hj. Shukri b. Hj. Sulaiman manakala Ketua Pengawasnya ialah saudara Abdul Majid b. Abdullah.

Penubuhannya menyorot kepada penubuhan Lembaga Jemaah Pengelola Sekolah dan pengerusi pertamanya ialah En. Abdul Majid b. Mohamad. Pada awal penubuhannya, SMRKPS tidak ada guru yang berstatus graduan. Sebaliknya SMRKPS hanya memperolehi guru graduan pertamanya pada 28 Januari 1970  setelah En. Mohd Arif b. Ismail melaporkan diri sebagai guru disana.

PERKEMBANGAN

Pada tahun pertama ditubuhkan, jumlah muridnya hanya 195 orang sahaja yang mendaftar masuk ke tingkatan satu bersama-sama 10 orang guru. Jumlah tersebut telah meningkat bilangannya kepada 240 orang pada 5 Januari 1966 bagi pendaftaran tahun berikutnya, manakala bilangan gurunya pula bertambah seorang lagi, menjadikannya 11 orang. Bilangan murid terus meningkat sehingga pernah mencecah 2000 orang pada satu ketika  sehingga kerajaan terpaksa menubuhkan sebuah lagi sekolah menengah berhampiran sekolah ini.

SMDS sewaktu majlis perasmian.

SMDS sewaktu majlis perasmian.

Pada tahun 1967, beberapa peristiwa besar berlaku yang menandakan Sekolah Menengah Rendah Kebangsaan Parit Sulong (SMRKPS) melangkah setapak lagi di bidang pendidikan tempatan. Pada tahun inilah, lencana sekolah ini mula di perkenalkan dan digunakan secara rasmi pada penghujung tahun 1967. Edisi pertama majalah sekolah ‘TERAJU’ juga telah berjaya diterbitkan pada 5 Oktober 1967. Pada tahun ini jugalah kumpulan pertama 191 pelajar telah menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan mencatatkan peratus kelulusan yang membanggakan iaitu 63%.

Tahun 1967 sekali lagi menjadi tanda sejarah kepada peristiwa besar pengisytiharan secara rasmi nama Sekolah Menengah Rendah Kebangsaan Parit Sulong kepada Sekolah Menengah Dato’ Sulaiman (SMDS) Parit Sulong.

Sekolah Menengah Dato’ Sulaiman terus melangkah ke hadapan. Pada 1 Jun 1968 kejohanan olahraga pertama telah diadakan. Empat rumah pasukan diperkenalkan iaitu Temenggong, Laksamana, Bendahara dan Hulubalang telah bersaing hebat merebut gelaran juara. Nama-nama ini masih terus kekal hingga kini dan digunakan di kejohanan sukan peringkat sekolah pada setiap tahun.

Koperasi sekolah pula telah ditubuhkan pada tanggal 30 Julai 1968 dan secara rasminya didaftarkan pada tahun 1971. Koperasi ini telah berjaya menaikkan nama sekolah apabila sering kali merangkul johan dan naib johan dalam Pertandingan Kuiz Koperasi Sekolah peringkat Daerah Batu Pahat sehingga kini.

Y.B Dato' Hussein Onn (Tun), Menteri Pelajaran  Malaysia pada masa itu merasmikan SMDS pada 28 Jun 1972.

Y.B Dato' Hussein Onn (Tun), Menteri Pelajaran Malaysia pada masa itu merasmikan SMDS pada 28 Jun 1972.

Tanggal 28 Jun 1972,  SMDS telah dirasmikan penubuhannya oleh Y.B Dato’ Hussein Onn (Tun) Menteri Pelajaran Malaysia pada masa itu. Y.B Dato’ Ninam Shah juga telah membuka dengan rasminya Rumah Pengakap sekolah pada 16 September tahun yang sama. Pada tahun 1974,  SMDS sekali lagi mencipta nama apabila mencapai keputusan peperiksaan SRP terbaik di Negeri Johor iaitu 69.2%, dengan mengalahkan 51 buah sekolah menengah yang lain pada ketika itu.

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) telah ditubuhkan pada tahun 1975 dengan penyandang Pengerusi PIBG yang pertama ialah Tn. Hj. A Jabar b. A Kahar. Kejayaan demi kejayaan terus dicipta dan dirangkul oleh SMDS dan pada tahun 1975 , dengan keyakinan tersebut maka pendidikan aliran sains mula ditawarkan di SMDS dengan tawaran kelas 4 sains tulen telah dimulakan.

Akhirnya sekali lagi SMDS ditukar namanya kepada  Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Sulaiman (SMKDS) sehingga kini.  Sekolah ini menempatkan kira-kira 1450 pelajar dengan 108 orang guru kesemuanya.

SIAPA DATO’ SULAIMAN

Dato’ Sulaiman ialah abang kepada Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada masa itu iaitu Tun Dr. Ismail bin Abdul Rahman. Dato’ Sulaiman adalah seorang tokoh yang disegani terutamanya masyarakat oleh setempat. Nama Dato’ Sulaiman telah dipersetujui oleh ahli Jemaah Pengelola Sekolah kerana semangat dan jasa beliau kepada masyarakat setempat, khasnya di kawasan , Muar Selatan. Pertukaran nama ini diharap menjadi dorongan dan inspirasi kepada masyarakat dan pelajar untuk terus berusaha bersungguh-sungguh demi kejayaan mereka di masa hadapan.

FIZIKAL SEKOLAH

Di awal penubuhannya, Sekolah Menengah Rendah Kebangsaan Parit Sulong hanya menumpang bangunan Sekolah Kebangsaan Parit Sulong dan Sekolah Rendah Kebangsaan (China) Parit Sulong di sebelah petang, Hal ini berlaku kerana pada masa itu SMRKPS belum mempunyai bangunan sendiri. Selaras dengan pertambahan murid yang pesat pada tahun berikutnya menyebabkan kedua buah sekolah tersebut tidak dapat menampung  pelajar SMRKPS. Sehubungan itu dua blok bangunan bilik darjah , yang dikenali hingga hari ini iaitu blok ‘Bakti’ dan ‘Cekal’ telah dibina di atas tapak yang ada sekarang dan mula di gunakan pada tanggal 25 Ogos 1966. sebelum ditambah dengan blok Azam pada 1 Januari 1968 , blok Gigih dan Makmal Sains Tulen pada sekitar awal tahun 1970an. Keselesaan guru juga tidak diabaikan. Pembinaan lima buah rumah guru kelas ‘G’ juga telah didirikan pada tahun yang sama.

BEKAS-BEKAS PENGETUA YANG PERNAH MENERAJUI SMK DATO’  SULAIMAN

Hj Daud bin Ibrahim (1965-1979)

Hj Daud bin Ibrahim (1965-1979)

Hj Abu Naim bin Siran (1980-1983)

Hj Abu Naim bin Siran (1980-1983)

Hj Rashidi bin Abd.Rahman (1983-1985)

Hj Rashidi bin Abd.Rahman (1983-1985)

Hj Jabit bin Kamin (1985-1986)

Hj Jabit bin Kamin (1985-1986)

Hj Asri bin Sarwan (1986-1994)

Hj Asri bin Sarwan (1986-1994)

Tn. Hj. Abdul Karim Haron

En. Hasnan Jaffar (April 2001 - Mac 2005)

En. Misli Rosbadi

%d bloggers like this: