Archive

Author Archive

Suka dan duka seorang GPK1

April 19, 2011 Leave a comment

Suka dan duka saling silih berganti dalam hidup seorang manusia biasa. Tiada seorangpun yang dapat mengelakkan diri daripada takdir Tuhan biarpun manusia diberikan kudrat dan iradat untuk berusaha dan berikhtiar. Penentu segalanya berada ditanganNya jua.

GPK1 sedang menyampaikan keputusan SPM 2010

Tarikh 23 Mac 2011 merupakan detik yang mendebarkan semua guru dan pelajar sekolah ini kerana pada tarikh tersebut keputusan SPM diumumkan. GPK 1, Tuan Haji Razib Arpan  bergerak masuk ke Bilik Gerakan SMKDS untuk mengumumkan keputusan tersebut dengan wajah yang gembira dan ceria sambil mengucapkan tahniah kepada para guru yang bertungkus lumus untuk SPM selama ini. Walaupun tidak sehebat sekolah lain, namun masih menduduki tempat ke-7 di seluruh Batu Pahat dan tempat ke-2 sekolah luar bandar. Kegembiraan ini dikongsi bersama dan selepas majlis tersebut, para guru telah meraikan pula kegembiraan sempena hari lahir GPK1 pada tarikh yang sama dengan keputusan SPM diumumkan. Sepotong kek telah dihadiahkan buat beliau oleh para guru dan sekalung doa selamat telah dibacakan buat beliau, tanda gembira dan syukur.

Doa selamat sempena hari lahir GPK1

Namun selang 15 hari setelah itu iaitu pada 7 April 2011, seluruh warga SMK Dato’ Sulaiman telah dikejutkan pula dengan suatu berita yang menyedihkan iaitu kematian bapa kepada Tuan Haji Mohd. Razib Arpan. Bapa beliau iaitu Allahyarham Arpan telah pulang ke rahmatullah kerana menghidapi sakit batu karang-buah pinggang pada jam 11.40 pagi.  Kelas-kelas tambahan yang dijadualkan berlangsung pada sidang petang pada hari tersebut dibatalkan untuk memberi peluang kepada warga sekolah ini memberi penghormatan terakhir kepada allahyarham ayahanda Tuan Hj. Razib. Seluruh warga sekolah ini mengucapkan takziah kepada beliau dan seluruh keluarga beliau. Semoga roh allahyarham dicucuri rahmat Ilahi.

Demikianlah secebis kisah suka dan duka seorang GPK1 yang sangat prihatin dengan sekolah ini. Seluruh warga sekolah ini mendoakan agar beliau tetap tabah dan terus berdiri gagah mencorakkan sekolah ini dengan warna-warna kecemerlangan. Amin.

Categories: Makluman, Peristiwa

Mesyuarat PIBG

April 16, 2011 Leave a comment
image

Prof. Dr. Faujan (tengah hadapan) sedang berjalan menuju ke Dewan Bestari diiringi oleh Pengetua (berbaju kuning) dan AJK PIBG

image

image

Mesyuarat PIBG ke-34 telah diadakan pada hari ini di dewan Bestari SMK Dato’ Sulaiman. Pada majlis ini para pelajar cemerlang dalam peperiksaan akhir tahun 2010 telah diberi anugerah masing-masing.

Yang paling menarik dalam majlis ini ialah kehadiran seorang bekas pelajar yang pernah belajar di sekolah ini pada tahun 1969. Beliau muncul sebagai pelajar terbaik dalam peperiksaan SPM pada tahun tersebut. Beliau ialah Yang Berbahagia Prof. Dr. Hj. Fauzan b. Hj. Ahmad yang bertugas sebagai profesor kimia organik dan sintesis di Universiti Putra Malaysia sebagai pensyarah kontrak setelah bersara daripada universiti tersebut. Banyak pengalaman menarik dan idea bernas yang beliau kongsikan dengan para hadirin sepanjang ucapan beliau yang padat dengan isi. Beliau seterusnya merasmikan mensyuarat PIBG kali ini.

Mesyuarat agung PIBG kali sangat bermakna dengan kehadiran ikon jemputan disamping anugerah yang disampaikan terhadap mereka yang cemerlang. Para hadirin yang bertuah pula berpeluang menerima cabutan bertuah.

Categories: Makluman, Peristiwa

Program menara ilmu

April 14, 2011 Leave a comment

image

image

Batu Pahat, 14 April 2011- Satu program motivasi yang dianjurkan oleh Yayasan Nurul Yaqeen bersama PPD Batu Pahat bertempat di dewan Bestari, SMK Dato’ Sulaiman.

Program ini diadakan untuk pelajar-pelajar tingkatan 3 dan 5. Setiap sekolah menghantar wakil pelajar masing-masing. Penceramah adalah seorang motivator terkenal dan berpengalaman iaitu Tuan Haji Hushim bin Salleh dari Hushim Motivational & Counselling Consultancy. Seramai 456 orang pelajar telah hadir menyertai program yang menyentuh hati ini.

Program separuh hari ini telah berakhir pada jam 1.30 tengahari. Setiap peserta yang hadir diberi sijil penyertaan masing-masing.

Categories: Kaunseling, Peristiwa

Atlit SMKDS Beraksi di MSSD Batu Pahat

April 11, 2011 Leave a comment

Wartawan Junior: Maizatul Farhana

BATU PAHAT- Pada 21 Februari 2011 hingga 23 Februari 2011 yang lalu, sekolah kita telah mengadakan pelbagai acara Sukan Kecil di padang sekolah. Antara acara yang dipertandingkan ialah acara lumba lari, lompat jauh, lompat tinggi, rejam lembing, lempar cakera, lontar peluru dan acara jalan kaki. Setiap pemenang, dianugerahkan sijil penyertaan dan pingat mengikut kategori perempuan dan lelaki 13,15 serta 18.

Semua peserta tempat pertama, kedua, dan ketiga yang telah terpilih untuk mewakili sekolah ke peringkat daerah pada 22 hingga 25 Mac 2011 di stadium Batu Pahat. Semua peserta menjalani latihan di bawah bimbingan Encik Othman bin Karim. Antara peserta yang menyertainya ialah olahragawan sekolah tahun ini iaitu  Mohd. Norhafis bin Sukor dari tingkatan 3PMR2  yang mewakili sekolah dalam acara 3000m,1500m,800 dan 4x400m kategori L15.

Antara pelajar lain yang menyertainya ialah Nur Syafiqah Nadirah bt Basir, Mohamad Fitri bin Mohd Rafi, Muhammad Khairul Azman bin Mohd. Pardon, Fadzil bin Nordin, Ilham Ameen bin Ismail, Mohd. Farid bin Jumaat, Ihsan Ameen bin Ismail, Muhamad Syafiq bin Syamsul, Shahrol Nizam bin Omar, Muhamad Asraf bin Samad, Muhamad Lukman bin Smad, Muhamad Akmal bin Ali, Muhamad Syawal bin Buang, Muhamad Hafizul Azmie bin Zaidi, Siti Salwa bt Ismail, Nur Najwa Husna bt. Othman, Fatin Nur Amiza bt. Ahmad Zaidun, Noradham bin Ahmad, Mohd. Ariff bin Wahab, Muhammad Aidil bin Ariffin, Ainul Syahirah bt. Muhd Razi, Jegan Raj A/L Saethren dan Muhamad Syamal Amer. Keseluruhan atlit berjumlah lima puluh dua orang.

Para atlit yang mewakili sekolah ini telah pun menunjukkan taring masing-masing antara di Peringkat Daerah antara 22 hingga 25 Mac 2011 di stadium Batu Pahat. Para pelajar diiringi seramai 10 orang guru. Guru-guru tersebut telah dibahagikan tugas tertentu. En. Abu Zayin bin Abdullah menjawat jawatan sebagai ketua kontinjen. Jawatan pengurus pasukan pula disandang oleh En. Jailani bin Ismail/Asrah dan dibantu oleh Tuan Haji Mohd. Lazim bin Rahmat. Kejayaan para peserta tidak akan dapat dicapai tanpa jurulatih yang berdedikasi. Jurulatih tersebut antaranya ialah En. Othman bin Karim, En.Mohd Amfal bin Basri, En.Mohd Jailani bin Ismail/Asrah, En. Asman bin Hamzah, En.Sahrul Nizam bin Marbon, Pn.Zainor Idayu bt Jusoh, Cik Nor Faleha bt  Ar’bain dan Pn Kartini bt Ahmad. Kesemua jurulatih ini di bawah pimpinan En. Othman bin Karim.

SMK Dato’ Sulaiman telah mencapai banyak kemenangan berkat usaha para peserta dan guru yang tidak pernah mengenal erti jemu. SMK Dato’ Sulaiman telah berjaya mendapat tempat ketiga dengan lapan pingat emas, sembilan pingat perak dan lapan pingat gangsa dengan pungutan markah sebanyak 179 mata. SMK Dato’ Sulaiman juga telah berjaya meraih johan keseluruhan bagi kategori L18 dengan pungutan markah sebanyak 54 mata. Selain itu, dua peserta telah berjaya mencatat rekod baru iaitu Mohd Fitri bin Mohd Rafi dalam acara 110m lompat pagar dengan catatan masa selama 16.30s dan Mohd Norhafis bin Sukor dalam acara 800m dengan catatan masa selama 2m 19.60s.

Kejayaan yang dicapai telah mengharumkan nama SMK Dato’ Sulaiman. Semoga kejayaan ini memberi inspirasi dan motivasi untuk para pelajar sekolah ini terus bersemangat, mara ke hadapan dan tangkas bergerak maju demi mencapai impian dan cita-cita masing-masing.

 

Categories: Ko-Kurikulum, Peristiwa

Perhimpunan Mingguan 23 Mac

April 11, 2011 Leave a comment

Wartawan Junior: Nuraina Salamon

SMK DATO’ SULAIMAN, 23 MAC 2011- Pada perhimpunan kali ini, Encik Othman bin  Marin telah memberikan ucapan sebagai guru bertugas mingguan. Antara intipati ucapan Encik Othman Marin ialah beliau memuji sikap pelajar yang hadir tepat pada waktu persekolahan selain daripada lebih 90% daripada pelajar tingkatan 3 dan 5 hadir mengikuti kelas yang dianjurkan sekolah ini sepanjang cuti penggal minggu lalu. Beliau juga mengingatkan agar para pelajar khususnya tingkatan 3 dan 5 agar sentiasa bersedia mengulangkaji pelajaran di mana sahaja mereka berada kerana peperiksaan PMR dan SPM hampir tiba.

Seterusnya, Encik Mohd Nor mengulas tentang mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang akan diadakan tidak lama lagi. Beliau meminta ketua atau penolong ketua kelas untuk mendapatkan surat usul PIBG selepas perhimpunan tamat.

Tuan Haji Mohd Nazlan bin Basar berucap pula dengan memberikan amaran terhadap pelajar yang datang lewat. Mereka akan direkodkan ke dalam e-disiplin. Tuan Haji Mohd Nazlan lebih tertumpu kepada masalah disiplin pelajar dan memberikan sedikit nasihat kepada para pelajar untuk memperbaiki tingkah laku diri masing-masing.

Ucapan diteruskan oleh Tuan Haji Mohd Razib bin Arpan dengan memberikan sedikit teguran kepada anak-anak didiknya supaya perlakuan yang negatif dikikis dan tumpukan pada pelajaran demi masa depan diri sendiri. Beliau mengingatkan bahawa Peperiksaan Pertengahan Tahun akan bermula pada 9 Mei 2011. Pelajar yang gagal Bahasa Melayu dan Pendidikan Islam  dimestikan mengulang kertas tersebut. Kelas Permata untuk tingkatan 5 bermula pada minggu ini. Manakala silibus perlu dihabiskan pada bulan Julai. Para pelajar juga diingatkan agar menceriakan kelas masing-masing untuk mewujudkan pembelajaran lebih selesa.

Baru –baru ini sekolah telah digemparkan dengan berita salah seorang pelajar di sekolah ini telah menghidap demam denggi. Oleh itu, pelajar dinasihatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan persekitaran rumah dan tiada sebarang takungan air yang boleh menyebabkan pembiakan nyamuk aedes. Tuan Haji Mohd Razib telah mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pelajar dan guru kerana telah mendoakan kesihatan ayahandanya yang menghidapi batu karang yang kini sudah semakin sembuh.

Categories: Makluman, Peristiwa

MSSD Batu Pahat

April 10, 2011 Leave a comment

Antara atlit SMKDS di Kejohanan MSSD Batu Pahat. Foto oleh: Chua & Azman

Antara atlit yang mewakili sekolah. Foto oleh: Chua & Azman

Sukan outreach dan balapan peringkat MSSD Batu Pahat telah berlangsung pada 22-25 Mac 2011. Sekolah ini telah menghantar seramai 52 orang atlit untuk menyertai kejohanan tersebut dalam pelbagai kategori dan acara. Antara pencapaian sekolah ini dalam MSSD tersebut ialah memenangi 8 pingat emas, 9 perak, 8 gangsa dan Terbaik Lelaki 18. Oleh yang demikian SMKDS telah menduduki tempat ke-3 daripada 24 buah sekolah di daerah Batu Pahat, satu sejarah berulang yang pernah dicapai pada tahun 2006.

Kegembiraan dikongsi. Foto oleh: Chua & Azman

Hari Lahir Pengetua

April 9, 2011 Leave a comment

Pengetua menerima penghargaan hari jadi daripada Tuan Haji Razib Arpan (GPK1) mewakili sekolah. Foto oleh: Zalina Amat Rosman

9 Februari  merupakan tarikh lahir Pengetua sekolah ini, Encik Misli Rosbadi. Sempena perhimpunan pagi Isnin sekolah ini, pihak guru-guru telah menyampaikan sedikit pemberian demi menghargai jasa  dan meraikan hari lahir beliau secara ringkas di dewan Bestari SMK Dato’ Sulaiman, disaksikan oleh para pelajar sekolah ini.  Suasana dimeriahkan lagi dengan alunan lagu ‘Allah, selamatkan kami…’ yang dimainkan oleh Pengawas. Seluruh warga sekolah ini mendoakan kesejahteraan Tuan Pengetua. Semoga beliau dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus menggalas tanggungjawab besar di sekolah ini.

Categories: Makluman