HARI GERAK KERJA KOKURIKULUM (GERKO) & KEUSAHAWANAN
Oleh : Lyana Kamarudin
Foto : Sahrul Nizam
PARIT SULONG, 20 April 2013 – Hari Gerak Kerja Kokurikulum (GERKO) dan Keusahawanan SMKDS tahun 2013 telah diadakan pada pagi Sabtu ini. Acara yang diadakan seperti tahun-tahun sebelumnya telah menjadi sesuatu yang dinanti-nantikan oleh para pelajar kerana pada masa inilah mereka dapat melatih diri menggunakan kemahiran-kemahiran tertentu bagi memastikan kelangsungan hidup setelah tamat sesi persekolahan Tingkatan 5 mahupun Tingkatan 6.
Majlis yang dirasmikan oleh Pn. Hjh. Noriah binti Nasir, Pengetua SMKDS sendiri dimulakan dengan upacara menerima tabik hormat daripada badan-badan beruniform. Pn. Hjh. Noriah diiringi barisan pentadbir turut memeriksa barisan setiap badan beruniform yang ada. Pertandingan kawad kaki diadakan di dalam Dewan Bestari dan diadili oleh Tn. Hj. Abdul Razak bin Mohd Zin, En. Hamdi bin Md Fadzali dan En. Mohd. Nizar bin Abd Rahman.
Pertandingan futsal turut diadakan dan mendapat perhatian pelajar-pelajar lelaki. Turut diadakan pada pagi itu ialah perlawanan persahabatan Sofbol di antara SMK Dato’ Sulaiman dan SMK Semerah. Tayangan filem-filem baru juga diadakan di Bilik Multimedia dengan yuran kemasukan sebanyak RM2 dikenakan. Pembaharuan pada sambutan kali ini, pertunjukan silap mata turut diadakan di Pusat Sumber SMKDS dengan yuran sebanyak RM1 dikenakan pada setiap kali masuk. Pertunjukan silap mata ini dianggotai oleh pelajar-pelajar SMK Dato’ Sulaiman dan bekas pelajar SMK Dato’ Onn.
Sebanyak RM16,000 kupon telah terjual dengan modal sebanyak RM 3450 telah dikeluarkan. Keseluruhannya sambutan Hari GERKO kali ini telah mengaut keuntungan sebanyak RM13,998.00. Beberapa gerai telah mencatat keuntungan tertinggi telah diberi hadiah saguhati sebagai penghargaan terhadap sumbangan mereka kepada pihak sekolah. Mereka adalah :
1. Gerai MPPU – Pn. Rohaizah binti Ali (Keuntungan : RM949.00)
2. Gerai Sejarah – Pn. Halimatusadiah binti Subari (Keuntungan : RM818.00)
3. Gerai Rekacipta – En. Abu Zayin bin Abdullah (Keuntungan : RM 741.00)
4. Gerai Geografi – Pn. Hjh. Faridah binti Atan (Keuntungan : RM731.00)
SMKDS JOHAN KESELURUHAN PERTANDINGAN SILAT SENI DAERAH TAHUN KELAPAN BERTURUT-TURUT
Oleh : Lyana Kamarudin
Foto : Lyana Kamarudin

Pasukan Silat Sunda Cimande SMKDS meraikan kemenangan bersama En. Abu Zayin bin Abdullah, GPK Kokurikulum.
BATU PAHAT, 30 April 2013 – Pertandingan Silat Seni Daerah Batu Pahat telah berlangsung pada hari ini di dewan SMK Tinggi, Batu Pahat. Pertandingan yang telah ditutup rasmi oleh Tn. Hj. Yasman bin Jamsir, Ketua Sektor Pembangunan dan Kemanusiaan, JPNJ sekali lagi membawa perkhabaran gembira buat keseluruhan pasukan silat SMKDS apabila dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan buat tahun kelapan berturut-turut.
Latihan rutin diadakan pada setiap pagi Ahad telah dimulakan sejak awal tahun lagi dan kemudiannya kem latihan pusat diadakan pada 27 dan 28 April 2013 di Dewan Bestari. Para pesilat dan barisan pesilat pelapis telah menyertai kem latihan pusat ini. Pesilat daripada SMK(P) Temenggung Ibrahim, SK Parit Sulong dan SK Seri Comel di bawah payung perguruan sama turut mengadakan latihan keras bersama dengan pemuzik bagi memantapkan lagi persiapan.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan diikuti upacara pembukaan gelanggang oleh En. Fauzan Nordin bin Yakmat, Jurulatih Silat Sunda Cimande Parit Sulong. Pertandingan dimulakan dengan Kategori 4 iaitu Seni Jurus Wajib Lelaki Sekolah Rendah dan diikuti oleh Sekolah Menengah. Pasukan SMKDS bagi kategori ini diwakili oleh Saudara Hafiz bin Baharuddin, Saudara Saufi bin Yusof dan Saudara Syafiq bin Saneb. Persembahan mantap dengan pergerakan yang seiring telah ditunjukkan oleh wakil SMKDS.
Seterusnya, Kategori 1 iaitu Silat Seni Tari Perempuan Sekolah Rendah dan Menengah menyusul pula. SMKDS telah diwakili oleh Saudari Hanny Roslyza binti Md Rujelin. Persembahan yang tangkas dan yakin juga berjaya ditunjukkan oleh srikandi kita. Silat Seni Tari Lelaki pula mengambil tempat. SMKDS sekali lagi menampilkan juara bertahan, Saudara Muhd Fareez bin Mokhtar dalam kategori ini dan seperti mana yang telah dijangka, pendekar cilik bersemangat waja ini menampilkan gerak kemas penuh dengan buah pukul yang mengkagumkan hadirin yang hadir.
Selepas rehat, pertandingan bersambung semula dengan Kategori 2 iaitu Seni Silat Tempur Perempuan dan Lelaki. SMKDS meletakkan Saudari Khairen Mohd Ran dan Nur Hazlin sebagai pasangan tempur perempuan dan Saudara Muhd Fareez Mokhtar serta Muhd Shahrin Azlan sebagai pasangan tempur lelaki. Sekali lagi mereka telah menunjukkan persembahan bertenaga yang sukar digugat pesaing daripada sekolah lain yang turut bertanding. Saudara Fareez dan Shahrin juga merupakan juara bertahan dalam kategori ini.
Akhir sekali, Kategori 3 iaitu Seni Jurus Segerak Silat Perempuan dipersembahkan oleh 4 orang srikandi SMKDS iaitu Saudari Hanny Roslyza Md Rujelin, Nordiana, Nurhafiza dan Noor Shuhadah. Keempat-empat mereka juga tidak mengecewakan apabila memberikan sepenuh tenaga dan aksi mantap serta menghiburkan.
Apabila senarai pemenang diumumkan, SMKDS sekali lagi telah melakar sejarah baru apabila menyapu bersih Johan bagi 5 kategori yang dipertandingkan dan 1 Naib Johan. Dengan kemenangan selesa itu, Johan Keseluruhan sekali lagi berpihak kepada SMK Dato’ Sulaiman. Alhamdulillah, berkat kerja keras dan sokongan dari semua pihak, kejayaan ini masih milik kita.

Barisan juri pertandingan. Dari kanan, En. Mohd. Jailani bin Asrah, Pn. Faramira binti Fauzan dan En. Fauzan Nordin bin Yakmat.
Senarai keputusan pertandingan adalah seperti berikut :
Kategori 1 – Silat Seni Tari (Lelaki)
Johan : SMKDS
Naib Johan : SMKTI
Ketiga : SMKTP
Keempat : SMKPS
Kategori 1 – Silat Seni Tari (Perempuan)
Johan : TIGS
Naib Johan : SMKDS
Ketiga : SMKSM
Keempat : SMKTI
Kategori 2 – Seni Silat Tempur Lelaki
Johan : SMKDS
Naib Johan : SMKTP
Ketiga : SMKS
Kategori 2 – Seni Silat Tempur Perempuan
Johan : SMKDS
Naib Johan : SMKTP
Ketiga : TIGS
Kategori 3 – Seni Jurus Segerak Silat Perempuan
Johan : SMKDS
Naib Johan : SMKSM
Ketiga : SMKTP
Kategori 4 – Seni Jurus Wajib Lelaki
Johan : SMKDS
Naib Johan : SMKTP
Ketiga : SMKS
Keempat : SMKBJ
Johan Keseluruhan Lelaki : SMKDS
Johan Keseluruhan Perempuan : SMKDS
JOHAN KESELURUHAN : SMKDS
KEBAKARAN DI SMKDS, SEORANG PELAJAR TERKORBAN
Oleh : Lyana Kamarudin
Foto : Lyana Kamarudin
PARIT SULONG, 24 April 2013 – Warga SMKDS digemparkan dengan deringan loceng panjang menandakan kebakaran sedang berlaku kira-kira jam 11.30 pagi ini. Para guru mengarahkan para pelajar keluar daripada kelas dan memastikan suis lampu dan kipas telah dimatikan. Para pelajar bergerak meninggalkan bangunan belajar dan berkumpul di padang. Para guru dengan bantuan Ketua Tingkatan masing-masing mengambil senarai kehadiran yang terkini. Keadaan kelam kabut namun masih terkawal.
Berselang 7 minit selepas itu, bergema bunyi siren bomba memecah segenap ruang kawasan Parit Sulong terus meluncur laju dan berhenti betul-betul di perkarangan SMKDS. Pasukan ahli penyelamat Bomba terus berlari menuju ke bangunan yang menempatkan kelas Tingkatan 3. Selang 4 minit kemudian, kelihatan 2 orang ahli bomba dibantu 2 orang pelajar SMKDS membawa alat pengusung dengan sehelai plastik menutupi mangsa yang dibawa. Mangsa diletakkan di laluan pejalan kaki yang mana pasukan St. John telah bersedia di situ. Namun, tiada apa mampu dilakukan kerana mangsa telah lemas dek asap tebal dalam kejadian yang berlaku. Begitulah latihan kebakaran yang telah dijayakan bersama dengan pasukan bomba dari Balai Bomba Yong Peng.
Tidak lama selepas itu, Ketua Operasi Bomba, En. Azman mengingatkan warga SMKDS beberapa perkara penting yang perlu dititik beratkan sekiranya berlaku kebakaran sebenar iaitu :
1. Suis lampu dan kipas mesti ditutup bagi mengelakkan lintar pintas.
2. Pintu harus ditutup bagi mengelakkan api merebak ke kawasan lain dengan cepat.
3. Pelajar mestilah bersikap serius dan sekurang-kurangnya berlari-lari anak apabila mendengar loceng kecemasan.
4. Pasukan perubatan sekolah perlu bersedia dengan kelengkapan dan ubat-ubatan yang lengkap sebelum ketibaan pihak hospital.
KEM SKOR KEPUJIAN SAINS SPM 2013
Oleh : Lyana Kamarudin
Foto : Lyana Kamarudin
BATU PAHAT, 20 April 2013 – Kem Skor Kepujian Sains SPM bagi tahun 2013 telah diadakan di SMK Tun Aminah, Batu Pahat. Setiap sekolah dalam daerah Batu Pahat telah menghantar 4 orang pelajar dengan seorang guru Sains yang berperanan sebagai fasilitator di sepanjang program berlangsung. Pelajar didedahkan dengan teknik menjawab soalan dan kesilapan-kesilapan lazim yang dilakukan oleh calon yang menjawab kertas soalan Sains SPM. Ceramah telah disampaikan oleh Pn. Hjh. Norza dari SMK Seri Medan. Cik Nurul Liyana binti Kamarudin (guru Sains SMKDS) bersama 4 orang pelajar dari kelas 5 Harmoni telah menyertai kem tersebut. Program berakhir kira-kira jam 12.30 tengah hari.
RUMAH SYAHBANDAR JUARAI KEJOHANAN MERENTAS DESA SMKDS
Oleh : Lyana Kamarudin
Foto : Ayu Darlu
PARIT SULONG, 12 April 2013 – Kejohanan merentas desa merupakan acara tahunan dalam takwim kokurikulum. Semua pelajar SMKDS mengambil bahagian dalam acara ini. Keputusan kejohanan adalah seperti berikut :
Syahbandar (Maroon) – 99 mata
Bendahara (Biru) – 96 mata
Panglima (Oren) – 94 mata
Hulubalang (Kuning) – 88 mata
Nakhoda (Putih) – 72 mata
Bentara (Ungu) – 72 mata
Laksamana (Merah) – 67 mata
Temenggung (Hijau) – 55 mata
Tahniah diucapkan kepada semua pelajar yang telah menunjukkan kesungguhan.
SMKDS JOHAN NASYID, SYARAHAN AGAMA SPONTAN DAN TILAWAH DALAM MAJLIS TADARUS AL-QURAN (MTQ) DAN FESTIVAL NASYID 2013
Oleh : Lyana Kamarudin
Foto : Zalina Amat Rosman
YONG PENG, 6 April 2013 – Majlis Tadarus Al-Quran (MTQ) dan Festival Nasyid 2012 peringkat zon telah diadakan di dewan SMK Dato’ Seth pada 6 April 2013. Berikut adalah senarai peserta dan keputusan :
1. Kumpulan Syababul Iqram – Johan Nasyid
2. Nooriszuwan bin Noordin – Johan Tilawah Al-Quran Lelaki
3. Ahmad Izzan bin Hamzan – Johan Syarahan Agama Spontan Lelaki
4. Azmyra binti Azmi – Naib Johan Syarahan Agama Spontan Perempuan
5. Nurul Amirah binti Abdul Hadi – Ketiga Bacaan Berzanji Perempuan
6. Muhammad Ridzuan Shah bin Kamaruddin – Ketiga Seni Khat Lelaki
Pada 13 April 2013 (Sabtu), MTQ dan Festival Nasyid peringkat daerah telah diadakan di SMK Dato’ Syed Esa. Dalam pertandingan pada hari tersebut, kesemua peserta yang telah menjadi juara di peringkat zon dipertandingkan lagi bagi mencari wakil ke peringkat negeri. Berikut adalah senarai keputusan :
1. Ahmad Izzan bin Hamzan – Naib Johan Syarahan Agama Spontan Lelaki
2. Nooriszuwan bin Noordin – Keempat Tilawah Al-Quran Lelaki
3. Kumpulan Syababul Iqram – Keempat Nasyid

































































































